Jumaat, 2 September 2011

Syukur..syukur

Assalamualaikum,Salam Syawal

Syukur kehadrat Ilahi atas segala rahmat dan nikmat yang dilimpahkan kepada kita semua.

Syukur juga kerana ramadhan tahun ini dapat disempurnakan sepenuhnya walaupun tekad sebelum ramadhan ada yang terbiar begitu sahaja tanpa mampu direalisasikan. Sungguh-sungguh diharapkan agar ramadhan akan datang akan lebih dimanfaatkan sebaiknya. Semoga Allah memberikan peluang sekali lagi untuk dilaksanakan.

Syukur juga kerana hari raya dapat diraikan bersama-sama keluarga tercinta. Mak,ayah di sebelah isteri di Melaka dan ibu tercinta di kampung Jengka semuanya dapat ditatap. Syukur kerana kehadiran syawal jatuh ditengah minggu, maka cukup selesa untuk meraikan bersama keluarga dikedua-dua belah pihak. Tahun ini, isteri memilih warna krim sebagai tema pakaian keluarga dan tiada masalah untuk pilihan itu. Sudah semestinya, aku bersyukur dengan pemberian bonus raya oleh kerajaan kerana memberikan aku sedikit nafas lega untuk menyediakan persiapan raya walaupun secara sederhana. Pakaian tiada yang ditempah,jadi jimat untuk bayaran upah.manakala,kuih raya beli untuk buah tangan untuk keluarga. Kiranya, tahun ini buat yang wajib saja. Jadi, sekali lagi aku bersyukur kerana isteri cukup memahami situasi dan tidak banyak meminta. Anak-anak masih kecil dan sudah cukup gembira dengan apa yang ada.

bersyukur juga, perjalanan kami dengan kereta menuju ke pelbagai destinasi selamat. Dalam suasana yang sibuk di setiap batang jalanraya, sudah tentu kebimbangan itu timbul. Kali ini pula aku memilih untuk jalan tidak bertol untuk pulang ke jengka. Berlaku sedikit rasa cemas ketika kereta hampir bertembung dengan kereta yang tidak beradab. Pemandu ini bagi aku cukup bodoh dalam membuat keputusan kerana dalam kesibukan dan paling penting di kawasan selekoh yang berbahaya, pemandunya memotong kenderaan lain. Aku hanya sempat mengelak sedikit dan tidak pasti apa yang berlaku kepada kenderaan di belakang aku kerana aku yakin,kereta tersebut belum dapat masuk ke laluan asal kerana kenderaan yang ingin dipotong masih panjang dan jalan masih lagi berselekoh.Namun aku bersyukur tiada musibah yang menimpa kami sekeluarga.

Aku bersyukur dengan segala yang dikurniakan kepada aku selama ini. Kepada semua, marilah kita panjatkan syukur kepada Allah dengan rahmat ini. Marilah kita sama-sama berdoa kepada-Nya agar kita berpeluang lagi untuk bertemu Ramadhan dan Syawal agar kita dapat mendakap nikmat dan kehebatan bulan ini. kepada pemandu-pemandu, berhati-hatilah di jalanraya .

Tiada ulasan: