Khamis, 29 September 2011

Mak Ayah tak sayang aku..

Seorang anak minta dibeli ayah sebuah telefon bimbit. Ayah yang agak berada enggan melayan permintaan anaknya itu. Tiada alasan yang diberikan oleh si ayah membuatkan si anak berasa kecewa dan agak marah. Rasa takut kepada ayah membuatkan si anak tidak lagi mendesak lalu diajukan pula hasratnya kepada si ibu. Namun, ibunya seakan sehati sejiwa, juga enggan memenuhi permintaannya dan menambahkan lagi kekecewaan si anak.



Hasrat untuk memiliki handfon semakin menjadi-jadi kepada si anak bila bersama rakan sebaya. Semakin gundah hatinya dan fikirannya selalu terganggu. Dia masih berfikir kenapa ayah dan ibunya tidak mahu membelikan dia handfon sedangkan mereka mampu.









Akibat tidak tahan diperli oleh rakan, dia mengambil keputusan nekad untuk mengambil duit ayahnya untuk membeli handset yang diidamkan. Tekadnya seperti direstui apabila melihat beg duit ayahnya tertinggal di atas meja pada malam itu dan peluang itu tidak dilepaskan olehnya.
Telefon yang diidamkan telahpun dalam genggaman. Senyum lebar si anak ketika menunjukkan kepada rakan. Kawan-kawan memujinya kerana mampu membeli telefon yang canggih. Pelbagai perkara diajar oleh rakannya mengenai handset. Senyum makin lebar sebab dapat berSMS dengan buah hati yang memang sudah lama mempunyai handset.



Si anak semakin leka dengan handsetnya. Rahsia perbuatan mengambil duit ayahnya seperti tidak diketahui oleh sesiapa. Semakin hari semakin leka. Pelajarannya semakin merosot, wajah semakin kusut kerana tidak cukup tidur. Paling menyedihkan, solat semakin dilalaikan dan semakin kerap keluar malam dan lewat pulang. Sesuatu yang pelik, ibu ayahnya tidak langsung menegurnya.



Suatu malam, ayahnya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mengatakan si anak di tangkap berkhalwat di sebuah hotel. Ayahnya sekadar mengangguk. Si ayah langsung tidak menghiraukan dan tidak pula seperti mahu tergesa-gesa ke balai. Si anak di tahan dilokap sehingga ayahnya tiba untuk menjaminnya. Namun, ayahnya tidak muncul hingga membuatkan dia terfikir, ayah dan ibunya tidak sayang dia lagikah? Adakah mereka tidak malu anaknya di tahan di lokap? Teki-teki itu tidak pernah mahu dihuraikan hinggalah si anak semakin dewasa dan mampu menilai..


----------


Itulah hakikat dan realiti..si anak yang masih mentah pada zaman sekarang tidak langsung dapat menilai tindakan ayah dan ibu mereka. Mereka langsung tidak cuba memahami kehendak ibu bapa mereka semata-mata memikirkan kehendak mereka sahaja.



Adakah kasih sayang itu hanya boleh ditonjolkan melalui tindakan memenuhi permintaan anak-anak sahaja ? Itulah yang membezakan kita semua. Sama ada kita mampu menilai dengan baik apa yang ibu bapa kita lakukan atau sebaliknya.. "Tidak" bagi ibu ayah adalah lambang kasih sayang ibu ayah kepada anaknya. Percayalah. Mereka sudah berpengalaman..


Bersabarlah...pasti ada kebaikan disebalik keengganan ibu bapa kita memenuhi permintaan kita..

Selasa, 27 September 2011

Pemusnah lelaki..

Assalamualaikum


Adakah benar wanita adalah penyebab kegagalan lelaki ?


cukup sedih dengar cerita "kedai kopi" tentang kawan yang tewas di tangan wanita. Pengajaran untuk diri dan lelaki. Masing-masing ada kesilapan dan kita perlu renung dan muhasabah diri. Kutip pengalaman dari mereka yang tewas dan mereka yang berjaya.


Lelaki ada kelebihan dan perempuan ada kelebihannya. Kita memerlukan kelebihan masing-masing untuk disatukan bagi membentuk kekuatan supaya tugas kita sebagai seorang hamba terlaksana dengan jayanya dan kita berlapang dada kembali kepada-Nya.


Kepada lelaki-lelaki,

ada peringatan daripada Rasullullah kepada kita mengenai wanita :

Sabda Rasulullah

" Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya;dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku.Orang yang memuliakan wanita adalah orang yang mulia,dan orang yang menghina wanita adalah orang yang tidak tahu mengenang budi." ( Riwayat Abu'Asakir )


Dan, kepada wanita..ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi.


Daripada Ummu Salamah,Isteri Nabi SAW,katanya, ( dalam Hadis yang panjang )

Aku berkata,"wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik daripada bidadari ?"

Baginda menjawab," Wanita di dunia lebih baik dari bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin."

Aku berkata,"Wahai Rasulullah,bagaimanakah itu?"

Baginda menjawab," dengan solat,puasa dan amalan mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..( Hingga akhir hadis..Riwayat Al-Tabrani )


Sebenarnya, begitu hebat darjat wanita hingga mampu mengalahkan bidadari. Itulah wanita solehah. Manakala lelaki, dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan memuliakan wanita..


Jika kita memahami tugas/ amanah kita, Insyaallah,kita boleh elak istilah "wanita pemusnah lelaki"


Jom kita renungkan.


Sumber hadis :Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas

Ahad, 25 September 2011

Kita Rasa kita berhak..

Assalamualaikum..


Baru saja Balik dari Asrama..Jam pun dah lewat..jangan terlewat bangun sudah...saja aku nak meniru rakan baik aku,tetap mencorekkan sesuatu sebagai tanda komitmen kepada blog dia. Aku ucapkan tahniah kepada kawan aku, speakonmind.blogspot. Makin maju dia sekarang, dah ramai yang menyertai blog dia..Aku..ada la 6 orang..takpe..


Hak..kita semua kata kita ada hak. Memang kita ada hak..tapi hak yang mutlak tetap milik Allah..Kita perlu pertahankan hak kita dan Allah sudah pasti akan mempertahankan hak mutlak-Nya. Hak Allah yang kita pasti "Makhluk yang Allah cipta adalah untuk akur kepada-Nya".Maka,Allah akan menuntut hak-Nya,maka kita perlu akur kepada hak Pencipta kita iaitu Allah S.W.T..itulah tanggungjawab besar kita di muka bumi ini.


Lantaran itu, Allah suruh kita sembahyang,maka wajib kita sembahyang dan,paling penting hak ini Allah tuntut daripada seluruh manusia. Tidak kira siapa,pangkat,jawatan dan sebagainya. Jadi, kepada adik-adik di asrama, fahamlah, bahawa sembahyang bukan hak asrama untuk diikuti, tetapi Hak Allah yang kita sebagai umat Islam perlu tunaikan. Tidak perlulah bersusah payah panjat bumbung,masuk loker,menyorok dalam tandas dan sebagainya semata-mata mengelak daripada untuk sembahyang. Hukuman asrama sekadar rotan dan nasihat.tetapi,hukuman Allah ?


Kita lihat dari mata hati, dengar baik-baik cerita ustaz agar berlaku transformasi dalam menilai setiap peraturan di asrama..bezakan antara tuntutan agama dengan tuntutan manusia..


Sabtu, 24 September 2011

Tanggungjawab Hati..

Assalamualaikum..


Cerita mengenai hati..Catatan Qalbun Salim ( Hati sejahtera ) dalam GenQ..sesuatu yang mungkin perlu kita hayati. Perjalanan kita sering ditentukan oleh hati kita. Dalam menunaikan kewajipan..hati kita sering diusik oleh musuh Allah..sedang kita mengerjakan amal,kita telah dicalit amalan kosong yang kita fikirkan telah sempurna..

Penulis memulakan dengan cerita ini :


Seorang pemuda sedang berteleku di hadapan komputer. Tiba-tiba azan zohor berkumandang. Kedua biji matanya masih ralit menatap skrin komputer. Hatinya menggerutu "Alamak..kenapa awal sangat zohor masuk,.kerja aku masih banyak.! Kalau berhenti solat kang, tak siap pula kerja aku"..Pemuda itu menggeliat kecil dan menatap skrin komputer. Hatinya warawiri antara mahu solat atau meneruskan kerja.

"Bukankah solat itu dituntut agar didirikan pada awal waktu?" ilmu dan akal berdiskusi.


"Apa boleh buat,kerja masih banyak. Lepas nipun aku tetap bersolat"..akhirnya dia memilih untuk meneruskan kerja.


Sejam kemudian..dia menuju ke tandas. terlebih dahulu dia membuang air kecil. Terlihat jelas di matanya, percikan air najis ke seluarnya. Dia menepuk dahi "Aduh! Macam mana aku mahu solat? Seluar aku terkena najis.Nanti tidak sah " Ilmu dan akal berhujah lagi. Sebelum keluar tandas, dia berwuduk dengan hati yang bercempera. " Ah,pedulikan saja.Aku tidak membawa kain untuk menukar seluar aku.Solat sajalah.Bukan ada sesiapa tahu seluar ini terkena najis. Yang penting aku bersolat...kemenangan kepada akal.

-----

APa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis ialah mengenai Amanah. Amanah terhadap Ilmu. Pemuda ini tahu baik buruk,dosa dan pahala,batas syariat malangnya dia khianat pada diri sendiri. DIa menzalimi dirinya dengan bersolat dengan pakaian terkena najis. Cukup merugikan kerana dia tidak amanah terhadap ilmu.


Maka,penulis menyimpulkan,diingatkan kepada pembaca supaya amanahlah dengan ilmu. Janganlaj diabaikan ilmu yang diperoleh. Tiada amanah yng lebih besar untuk dijaga melainkan beramal dengan apa yang kita fahami. Berusahalah untuk mengamalkan setiap ilmu yang benar dan kita peroleh.

----

Pernah berlaku ke dalam kehidupan kita? Hem, sudah tentu ini berlaku,..so aku berpesan pada diri aku sendiri dan sesiapa sahaja,agar kita cuba melakukan transformasi dalam diri agar lebih menghargai ilmu..


Isnin, 19 September 2011

Cerita dari Terengganu

Assalamualaikum

Semalam bertolak dari Bentong ke Kuala terengganu. Memenatkan sebab sudah lama tidak menaiki bas untuk ke mana-mana.Almaklumlah, dah ada kereta. Dari Bentong ke Temerloh saja, dah dua jam masa di dalam bas..Ke kuantan? Nasib tak baik,tiket bas takde, naik teksi ke kuantan.nasib ada orang yang sama nasib..

Terengganu..sama macam kelantan..makan..makan..makan..kerja? Macam biasa..pergi melawat asrama-asrama di negeri Penyu pula kali ini..sememangnya, aku yakin asrama memang boleh membentuk insan yang baik kalau nak...inilah antara kondisi asrama yang aku rasa baik.




Dorm Pelajar Perempuan

Dorm Pelajar Perempuan

Dorm Pelajar Perempuan

Dorm Pelajar Lelaki

Dorm Pelajar Lelaki

Dorm Pelajar Lelaki

Dorm Pelajar lelaki ( Khas Pemain Bola )

Dorm Pelajar lelaki

Dorm Pelajar Lelaki


Dorm Pelajar lelaki


Di hadapan Blok Lelaki

Paling menarik, keseluruhan dorm di asrama ini dalam kondisi yang sama.

Apahal pun, khas kepada mereka yang ada adik yang tinggal di asrama, pesanlah kepada mereka supaya jadikan asrama seperti syurga dunia. Bukan sahaja boleh mendapat pengalaman, malah memberi ruang kepada adik-adik untuk belajar lebih selesa.

Selasa, 13 September 2011

Dari Kelantan

Assalamualaikum

Salam dari Negeri Cik Siti Wan Kembang!..Hari Ke-2 di kelantan. Aku ditugaskan menilai tahap gemilang asrama di negeri kelantan.

Kecemerlangan di sesebuah sekolah berasrama adalah bermula di asrama.

Asrama yang kondusif memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa sehingga mendorong kepada kejayaan lebih cemerlang.


Dalam masa yang sama, asrama kondusif sebenarnya bermula daripada keinginan penghuni untuk melihat suasana yang lebih selesa. Maka, timbul keinginan untuk membuat perubahan dan menyokong usaha-usaha pengurusan untuk mengindahkan asrama mereka. Dalam pada itu, maka lahirlah ketekunan,kreativiti,inovasi,kesungguhan dan pelbagai sikap positif dalam diri pelajar. Betapa beruntungnya tinggal di asrama!






Bersikap positif dan jauhkan sikap negatif>> Kita pasti akan lebih berjaya>










Kurangkan melayan perkara melalaikan..anda akan dapat sesuatu yang lebih berharga daripada segala-galanya.













Sabtu, 3 September 2011

peperiksaan

Assalamualaikum


Peperiksaan Percubaan SPM 2011 hampir bermula. 6 Sept.2011. Walaupun percubaan ia tetap penting.Semoga semua yang bakal menduduki percubaan ini telah bersedia.

Cabaran yang agak berat kerana masih lagi dalam mood raya. Mungkin ada kalangan pelajar tidak bersedia untuk mendudukinya atau memang langsung tidak mempedulikan kehadirannya.

Kita sering digembar-gemburkan yang sistem pendidikan kita berasaskan peperiksaan. Satu isu yang agak serius dan sebenarnya kurang resolusi secara konkrit. Tidak dinafikan,peperiksaan adalah cara terbaik untuk menilai keupayaan,pemahaman dan penerimaan ilmu pelajar.

Peperiksaan sebenarnya bukanlah sekadar menumpukan kepada akademik semata-mata. Bagi aku, peperiksaan sebenarnya juga mengajar kita mengenal jati diri, mengenal usaha,mengenal nilai,mengenal segala-galanya.

Seseorang yang berjaya cemerlang dalam peperiksaan bukan dapat bergolek tetapi melalui cara atau jalan yang direntas untuk mencapainya. Adakah seorang yang cemerlang tugasnya 24 jam mengadap buku? Mereka yang cemerlang ini pertamanya,bijak menyusun masa. Memanfaatkan masa dengan perkara yang berfaedah. Setiap masa digunakan sebaik mungkin. Jarang sekali mereka yang sentiasa berseronok dan sesekali membaca mendapat keputusan yang cemerlang. Pelajar cemerlang akan menyusun jadual belajar serta rutin hidupnya supaya dia lebih bersedia untuk berjaya.


Pelajar cemerlang sentiasa menekankan kesihatan. Mereka tidak merokok,mereka tidak makan makanan yang tidak berkhasiat.Mereka juga menekankan rehat yang sempurna seperti tidur awal dan bangun seawal pagi.Mereka juga menekankan riadah walaupun dikatakan ramai yang cemerlang kokurikulumnya lemah. Tetapi sebenarnya,mereka menjalankan riadah secara berjadual dan tidak bermusim.


Kecemerlangan mengajar pelajar supaya tekun,berdisiplin,sabar dan sentiasa ingat kepada pencipta. Pelajar yang ingin cemerlang pasti tidak lupa untuk merapatkan hubungan dengan gurunya. Pelajar cemerlang tidak lupa hubungan dengan rakan-rakannya,hubungan dengan ibu bapa dan paling mustahak hubungan dengan pencipta.Jika bukan Islam,mereka tidak lupa berdoa dan meminta daripada tuhan mereka.


Kita mungkin cemerlang apabila kita cemerlang Jasmani,Emosi,Rohani dan Intelek! INilah teras KEJAYAAN KITA !Berusahalah.!

Jumaat, 2 September 2011

Syukur..syukur

Assalamualaikum,Salam Syawal

Syukur kehadrat Ilahi atas segala rahmat dan nikmat yang dilimpahkan kepada kita semua.

Syukur juga kerana ramadhan tahun ini dapat disempurnakan sepenuhnya walaupun tekad sebelum ramadhan ada yang terbiar begitu sahaja tanpa mampu direalisasikan. Sungguh-sungguh diharapkan agar ramadhan akan datang akan lebih dimanfaatkan sebaiknya. Semoga Allah memberikan peluang sekali lagi untuk dilaksanakan.

Syukur juga kerana hari raya dapat diraikan bersama-sama keluarga tercinta. Mak,ayah di sebelah isteri di Melaka dan ibu tercinta di kampung Jengka semuanya dapat ditatap. Syukur kerana kehadiran syawal jatuh ditengah minggu, maka cukup selesa untuk meraikan bersama keluarga dikedua-dua belah pihak. Tahun ini, isteri memilih warna krim sebagai tema pakaian keluarga dan tiada masalah untuk pilihan itu. Sudah semestinya, aku bersyukur dengan pemberian bonus raya oleh kerajaan kerana memberikan aku sedikit nafas lega untuk menyediakan persiapan raya walaupun secara sederhana. Pakaian tiada yang ditempah,jadi jimat untuk bayaran upah.manakala,kuih raya beli untuk buah tangan untuk keluarga. Kiranya, tahun ini buat yang wajib saja. Jadi, sekali lagi aku bersyukur kerana isteri cukup memahami situasi dan tidak banyak meminta. Anak-anak masih kecil dan sudah cukup gembira dengan apa yang ada.

bersyukur juga, perjalanan kami dengan kereta menuju ke pelbagai destinasi selamat. Dalam suasana yang sibuk di setiap batang jalanraya, sudah tentu kebimbangan itu timbul. Kali ini pula aku memilih untuk jalan tidak bertol untuk pulang ke jengka. Berlaku sedikit rasa cemas ketika kereta hampir bertembung dengan kereta yang tidak beradab. Pemandu ini bagi aku cukup bodoh dalam membuat keputusan kerana dalam kesibukan dan paling penting di kawasan selekoh yang berbahaya, pemandunya memotong kenderaan lain. Aku hanya sempat mengelak sedikit dan tidak pasti apa yang berlaku kepada kenderaan di belakang aku kerana aku yakin,kereta tersebut belum dapat masuk ke laluan asal kerana kenderaan yang ingin dipotong masih panjang dan jalan masih lagi berselekoh.Namun aku bersyukur tiada musibah yang menimpa kami sekeluarga.

Aku bersyukur dengan segala yang dikurniakan kepada aku selama ini. Kepada semua, marilah kita panjatkan syukur kepada Allah dengan rahmat ini. Marilah kita sama-sama berdoa kepada-Nya agar kita berpeluang lagi untuk bertemu Ramadhan dan Syawal agar kita dapat mendakap nikmat dan kehebatan bulan ini. kepada pemandu-pemandu, berhati-hatilah di jalanraya .